Cara mengatasi masalah tekanan jiwa menurut Islam

Cara mengatasi masalah tekanan jiwa menurut Islam
Pendahuluan

Kita adalah sebaik-baik makhluk ciptaan Allah, namun kita masih tidak
terlepas daripada menghadapi tekanan ketika bekerja. Pelbagai tekanan
yang dihadapi menyebabkan hati menjadi runsing dan semua kerja tidak akan
terlaksana. Tidak mustahil bagi individu yang berhadapan dengan
masalah ini akan terbawa-bawa ke rumah hingga anak-anak pula menjadi
mangsa. Namun, hati akan menjadi tenang sekiranya kita kembali kepada Allah. Apa jua yang dilakukan mestilah berdasarkan kepada Al-Quran dan Al-Sunnah disertai dengan niat yang ikhlas semata-mata untuk mendapat keredhaan Allah.

Terdapat beberapa tips yang kita boleh amalkan bertujuan mengurangkantekanan kerja.

Antaranya ialah :
1) Biasakan diri berada dalam keadaan berwuduk
Jiwa kita akan menjadi tenang jika kita membiasakan diri mengambil wuduk sebelum melakukan pekerjaan. Kerja yang susah akan menjadi senang dan mudah diselesaikan. Para pelajar misalnya, disarankan agar membiasakan diri
mengambil wuduk sebelum mengulang kaji pelajaran agar apa yang dibaca akan mudah dingati.
2) Perbanyakkan membaca Al-Qur'an
Ganjaran yang besar akan diberikan Allah bagi sesiapa yang membaca
Al-Quran walaupun satu ayat. Waktu yang sesuai bagi kita untuk membaca
Al-Quran ialah selepas solat lima waktu dan waktu-waktu lain seperti ketika
berehat dan sebelum tidur. Oleh itu, jadikanlah Al-Quran sebagai teman paling
akrab pada sepanjang waktu.
3) Banyakkan Solat Sunat
Sebagai makhluk paling mulia di sisi Allah, kita disuruh membanyakkan
amal ibadat kita sehari-hari. Antaranya, dengan mendirikan solat sunat.
Solat sunat hajat, solat sunat taubat, solat sunat tasbih adalah antara
pelbagai solat sunat yang terdapat dalam Islam. Kita bangun pada sepertiga
malam dan mendirikan solat-solat sunat tersebut agar beroleh ketenangan
dan kekuatan daripada Allah.
4) Selalu berdoa kepada Allah
Allah telah berpesan iaitu jangan menyembah selain daripada-Nya. Ini
bererti kita disuruh berdoa hanya kepada Allah yang Maha Esa dan
dilakukan secara berterusan. Waktu-waktu mustajab berdoa adalah pada malam
Jumaat, tengah malam, pagi sebelum waktu Subuh, malam hari raya, ketika waktu
azan dan iqamah. Insya-Allah, Allah akan memakbulkan doa setiap hamba-Nya
yang benar-benar ikhlas. Namun, kita perlulah sedar bahawa sebarang rezeki
tidak akan datang bergolek sekiranya tanpa usaha yang bersungguh-sungguh.
Maka kita perlulah berusaha supaya mencapai sesuatu di samping berdoa
hanya kepada Allah yang Esa.
5) Bersangka baik dengan Allah
Kita sebagai manusia biasanya tidak akan terlepas daripada berhadapan
dengan ujian dalam hidup. Semuanya itu adalah ujian daripada Allah
yang Berkuasa bertujuan menguji keimanan kita sebagai hamba Allah. Oleh
itu, kita mestilah bersangka baik dengan Allah dan janganlah
menyalahkan-Nya jika terjadi sesuatu ke atas diri kita. Kita juga mesti
percaya bahawa tentu ada hikmah di sebalik kejadian itu.
6) Lakukan kegiatan luar seperti bersukan
Orang ramai selalu berkata bahawa badan yang cerdas akan membentuk
otak yang cergas. Segala tekanan sewaktu bekerja akan dilupakan apabila
kita melakukan aktiviti-aktiviti luar yang dapat menyihatkan tubuh badan
seperti bersukan. Situasi akan menjadi lebih menggembirakan jika kita
meluangkan masa membawa keluarga pergi beriadah. Ikatan
kekeluargaan juga akan bertambah erat dan kukuh.

7) Amal diet dengan disiplin yang kuat
Pengambilan makanan yang berlebihan dan tidak seimbang juga merupakan
salah satu faktor tekanan sewaktu bekerja. Oleh itu, cara untuk
mengurangkan tekanan adalah mengamalkan diet dengan disiplin yang kuat.
Diet yang tidak terkawal akan menyebabkan kegemukan dan menimbulkan penyakit kronik yang lain seperti lemah jantung, darah tinggi, kencing manis.
8) Menangis dengan sepuas hati
Tekanan yang dihadapi sekiranya melibatkan individu yang lain dapat
diredakan melalui luahan hati kita dengan menuliskan rasa
ketidakpuasan hati kita itu dalam sehelai kertas. Sikap cuba menyimpan perasaan
tersebut dalam hati boleh menyebabkan diri merana. "Luaran lain hati lain"
ada sesetengah individu apabila mereka mengalami sesuatu tekanan, mereka
seolah-olah tidak menunjukkan permasalahan mereka itu. Sebagai
contoh, mereka akan sentiasa gembira bila dilihat bersama rakan-rakan
tetapi dalam hatinya hanya Allah yang Maha Mengetahui. Maka dengan itulah, menangis dilihat sebagai salah satu cara kita dapat mengurangkan tekanan yang dihadapi di tempat kerja.
9) Hargai kebolehan diri sendiri
Kita perlu mempunyai satu sikap yang dipanggil yakin diri. Apabila
kita mempunyai keyakinan diri, maka kita tidak akan mempunyai masalah
untuk melakukan sesuatu pekerjaan yang disuruh oleh pihak lain sewaktu
bekerja. Kita yakin bahawa kita boleh melakukan kerja yang disuruh dengan
mudah dan tiada sebarang masalah yang dihadapi. Apa yang penting ialah,
kita mesti menghargai kebolehan diri sendiri dan memulakan hidup dengan lebih
ceria.
10) Cintai diri sendiri
"Cintailah diri kamu sendiri sebelum kamu mencintai diri orang lain".
Jelas daripada maksud sepotong hadis ini, kita dapat memahami bahawa kita
perlu mencintai diri sendiri terlebih dahulu berbanding orang lain. Diri
kita yang selama ini masih pada tahap lama dalam pekerjaan perlu
dipertingkatkan dengan cara yang dinyatakan di atas. Kita perlu
memulakan kehidupan kita dengan ceria dan penuh dengan senyuman.
Kesimpulan

Sebagai kesimpulannya, tekanan kerja bukanlah satu bebanan yang sukar
untuk diatasi. Dengan usaha yang gigih dan kesabaran yang tinggi serta
jalan penyelesaian yang jitu, bebanan yang kita alami pastinya akan dapat
diselesaikan dengan jayanya. 


 

0 comments:

Post a Comment

 
Copyright © Seindah Dunia